.
RSS

Wednesday, June 21, 2006

version 3

darah ibu tiri yang berciciran di atas lantai telah pun mengering apabila jam besar di ruang tamu teratak kecil itu berdenting tujuh kali. salji putih yang mendengar dentingan jam itu sayup-sayup mempercepatkan langkah. dia menyelinap masuk sesenyap tikus dan berlari anak ke bilik ibu tirinya. baru sahaja tangan kanannya diangkat untuk mengetuk, sudah kedengaran suara ibu tirinya menyuruh masuk.

salji putih menolak pintu perlahan-lahan dan melangkah masuk ke dalam bilik yang gelap pekat itu. tapak kakinya yang tidak beralas dapat merasa serpih-serpih kaca di atas lantai. dalam balam-balam cahaya merah mentari senja, salji putih dapat melihat ibu tirinya diam di satu sudut, di sebalik bayang. dia mendekati ibu tirinya dan menghulurkan raga penuh berisi epal itu, “ini epal ibu.”

serentak dengan itu, sepanahan kilat yang muncul entah dari mana memeranjatkan salji putih apabila dengan sekilas cahaya itu dia dapat melihat serpihan cermin kuasa di atas lantai bersama dengan titisan-titisan darah. dengan cahaya yang tidak seberapa itu juga, salji putih menangkap kelibat pandangan ibu tirinya yang penuh dendam.

tun teja melangkah ke hadapan mendekati salji putih yang telah pun kaku di tengah-tengah bilik itu. dengan kuasa yang tidak padan dengan fizikalnya, dia menampar raga yang dihulur oleh salji putih dan menggenggam erat lengan kiri anak gadis itu. salji putih yang kebingungan dan sememangnya terkesima itu memandang kosong epal-epal yang jatuh bergelimpangan di serata bilik. tun teja menyentap lengan salji putih dan memaksa gadis itu memandang tepat ke dalam matanya.

“paling jelita, bukan? mari lihat siapa yang lebih jelita selepas ini,” ulah si ibu tiri sambil menunjukkan serpihan kaca cermin sakti yang paling besar yang dipegangnya sedari tadi.
dalam masa tiga saat, serpihan kaca itu telah meratah hampir separuh daripada wajah salji putih. dirobek-robek. dicakar-cakar. ditoreh-toreh. darah salji putih yang berwarna seakan putih itu mengalir laju, membasahi bumi. walau begitu, ibu tiri yang sememangnya sudah tidak kenal langit bumi itu, seperti tidak mahu berhenti. semua jerit perih salji putih diendahkan.

3 comments: