.
RSS

Friday, June 30, 2006

version 7

semangat cermin itu melayang dengan rasa yang puas dan bebas, mencari kelibat salji putih. ya. salji putih yang hampir dilupakan dalam segala hingar-bingar pertelagahan cermin sakti dan ibu tiri. toleh ke kanan. toleh ke kiri. hampir-hampir saja sang cermin tidak nampak jasad halus salji putih dalam kelam bilik itu. dia cuba mendekati tetapi tiga ela jaraknya dari salji putih, si cermin terhenti. bukan bersahaja berhenti, tapi dihentikan oleh sebuah perisai lutsinar. dia bingung. dari mana pula datang perisai ini. adakah Darath masih di sini?

salji putih mengangkat muka perlahan-lahan. seketika setelah sunyi sepi menyelubungi segenap ruang kamar yang kelam itu. dia terlihat semangat cermin sakti tiga ela jarak darinya dengan wajah yang cukup bingung. salji putih tersenyum sendirian. dia bangun dan meluruskan badannya.

“pahlawan-pahlawanku. sudah,” ujar salji putih satu-satu, perlahan-lahan. serentak dengan itu, tujuh biji epal merah di sekelilingnya mencair menjadi air. air-air itu merah warnanya dan makin lama menjadi makin pekat, seperti darah. dalam sekejap masa, epal-epal merah yang basah bersalut darah salji putih itu telah bertukar menjadi cecair sepenuhnya.

salji putih memetik jarinya tiga belas kali mengikut satu irama lama-lama. tujuh lopak air merah di sekelilingnya yang awalnya tenang tiba-tiba berkocak. dan dari tujuh lopak itu, keluar pula tujuh lembaga. mula-mula tangan, satu-persatu. kemudian kepala. dan badan. dan yang terakhir, kaki keduanya. tepat pada petikan jari yang ketiga belas, tujuh epal merah yang kemudiannya menjadi tujuh lopak air merah itu telah bertukar menjadi tujuh lembaga kerdil. setiap satunya berdiri siap tegap di sekeliling salji putih bagaikan sebuah perisai.

Wednesday, June 28, 2006

version 6

“aarghh!!!” jerit ibu tiri, sedar dari pengsannya. sakit yang tadi dapat dirasa seluruh badan kini tertumpu di tapak tangan kanannya. serpih kaca yang dipegangnya tadi hancur berderai. dan serpihan-serpihan kaca yang lebih halus itu menekan-nekan ke tapak tangannya, seperti ada sesuatu yang mahu kaca-kaca itu terbenam.

“aarghh!!!” jerit ibu tiri sekali lagi.

tapi, jeritannya itu, biar menggegar teratak, biar meluruh jantung, tak bisa merubah kenyataan yang serpihan-serpihan kaca itu makin lama makin terbenam ke dalam. tangan kanan tun teja itu sudah terasa kaku, makin sakit dengan setiap gerakan. sebaik sahaja serpihan kaca yang terakhir hilang di bawah selapisan kulit, tangan itu sudah betul-betul seperti batu. berat dan kaku. langsung jatuh ke tanah dan pecah seperti batu yang dihempas ke bumi.

tun teja, si ibu tiri, hanya memandang kosong tangan kanannya yang sudah jadi abu. tapi mata keringnya itu seperti memandang kosong jugalah, tidak nampak samar-samar semangat cermin yang terbang bebas keluar dari abu itu.

Monday, June 26, 2006

version 5

cermin sakti membuka matanya perlahan-lahan dari lena yang mengisi kosong hatinya. semangatnya tersedar dalam serpihan kaca paling besar yang dipegang oleh ibu tiri. alangkah terkejutnya dia, bila jaganya diiringi dengan rontaan dan jeritan yang amat dahsyat. mula-mula, bingung juga dia. tapi, selepas merasa payau darah di hujung lidahnya dan melihat wajah salji putih yang hanya seinci dari nafasnya sendiri, dia mula sedar akan apa yang berlaku.

sang cermin pun memejam mata mengumpul kuasa. dalam masa yang sama, sempat juga dia memohon petunjuk dari Darath si pemusnah, bintang yang setia memerhati. dan dengan semua kuasa yang ada serta rasa cinta yang tidak bertepi, si cermin sakti itu menolak semula kudrat ibu tiri jauh-jauh dari salji putih.

mulanya, tiada apa yang berlaku. tapi seketika kemudian, tangan kanan ibu tiri kaku untuk sekilas sebelum terundur ke belakang sedikit demi sedikit. mulut ibu tiri jatuh ternganga melihat tangan kanannya sendiri. dengan pantas, dia cuba melawan. menggunakan semua kudrat-kudrat tidak waras yang ada pada dirinya. si cermin bertahan dan membalas sekuat hati sedaya mungkin. tapi kuasa saktinya yang baru pulih tidak dapat melawan kuasa tidak waras sang ibu tiri.

melihat perjuangan cermin sakti yang hampir rebah, Darath si pemusnah yang seawalnya tidak mahu campur tangan, berluluh hati. bintang yang paling hebat di alam semesta itu pun menebar dua sayap putih gergasinya untuk menampung sang cermin. sebaik sahaja sayap gergasi Darath menyentuh halus semangat si cermin, satu cahaya putih yang menyilau muncul dari serpihan kaca di dalam genggam ibu tiri. cahaya itu membentuk sebuah anak panah, membesar dan memanas seperti matahari.

tepat enam puluh enam saat sayap putih si Darath menyentuh cermin sakti, cahaya putih berbentuk anak panah itu meletup. menggegar. mencampak tubuh layu ibu tiri ke satu sudut bilik. si cermin itu tersenyum, puas. dia menggangguk sekilas pada bintang yang mula beransur pergi itu sebelum meluru masuk semula pada serpihan kaca yang masih dalam genggaman tun teja.

Saturday, June 24, 2006

version 4

satu yang tidak diketahui ibu tiri, makhluk-makhluk sakti seperti cermin kuasanya itu, tidak mungkin akan kehilangan nyawa. ini kerana mereka sememangnya tiada pun anugerah besar yang dipanggil nyawa itu. mereka hanyalah satu semangat yang akan merayau-rayau tanpa hala tujuan jika kehilangan tubuh asal. setelah kehilangan tubuh asal, makhluk-makhluk sakti ini bebas untuk melakukan apa saja mengikut kata hati mereka. mereka menjadi semangat-semangat yang merbahaya dan di luar kawalan.

dan kerana itu, biasanya, tuan punya makhluk-makhluk sakti tidak akan membunuh atau memusnahkan mereka. cuma, tun teja, si ibu tiri saja yang begitu bodoh. kebodohan ibu tiri ini begitu dalam sehingga bertempias kepada cermin sakti yang dipeliharanya. cermin sakti itu kerana telah diugut tentang nyawa sejak berumur satu purnama lagi, tidak tahu menahu hal-ehwal ‘nyawa’nya sendiri.

buta hati si cermin sakti itu hanya diubati ketika dia melayang dan terhempas ke lantai. doa yang dibisiknya sebelum jatuh berderai itu mengejutkan enam bintang sakti yang sememangnya menjadi pelindung bagi semua makhluk-makhluk sakti di dunia ini. Nalixa, bintang pertama, melenakan si cermin yang merayau-rayau tanpa arah tujuan setelah terlepas dari tubuh asalnya. bintang kedua, Ellalith, mengubati luka-luka pada semangat si cermin itu. bintang ketiga, Euridil si perahsia, dan bintang keempat, Diemryn si pemberitahu, berhujah sesama sendiri. menentukan yang mana patut diberitahu, yang mana patut dirahsia dari semangat kosong si cermin itu. setelah celik hati si cermin sakti, dating pula bintang kelima, Ethirion yang mencipta, dan ditiupkan perlahan-lahan cermin sakti supaya sedar dari lenanya. dan bintang yang terakhir, Darath, hanya diam memerhati.

Wednesday, June 21, 2006

version 3

darah ibu tiri yang berciciran di atas lantai telah pun mengering apabila jam besar di ruang tamu teratak kecil itu berdenting tujuh kali. salji putih yang mendengar dentingan jam itu sayup-sayup mempercepatkan langkah. dia menyelinap masuk sesenyap tikus dan berlari anak ke bilik ibu tirinya. baru sahaja tangan kanannya diangkat untuk mengetuk, sudah kedengaran suara ibu tirinya menyuruh masuk.

salji putih menolak pintu perlahan-lahan dan melangkah masuk ke dalam bilik yang gelap pekat itu. tapak kakinya yang tidak beralas dapat merasa serpih-serpih kaca di atas lantai. dalam balam-balam cahaya merah mentari senja, salji putih dapat melihat ibu tirinya diam di satu sudut, di sebalik bayang. dia mendekati ibu tirinya dan menghulurkan raga penuh berisi epal itu, “ini epal ibu.”

serentak dengan itu, sepanahan kilat yang muncul entah dari mana memeranjatkan salji putih apabila dengan sekilas cahaya itu dia dapat melihat serpihan cermin kuasa di atas lantai bersama dengan titisan-titisan darah. dengan cahaya yang tidak seberapa itu juga, salji putih menangkap kelibat pandangan ibu tirinya yang penuh dendam.

tun teja melangkah ke hadapan mendekati salji putih yang telah pun kaku di tengah-tengah bilik itu. dengan kuasa yang tidak padan dengan fizikalnya, dia menampar raga yang dihulur oleh salji putih dan menggenggam erat lengan kiri anak gadis itu. salji putih yang kebingungan dan sememangnya terkesima itu memandang kosong epal-epal yang jatuh bergelimpangan di serata bilik. tun teja menyentap lengan salji putih dan memaksa gadis itu memandang tepat ke dalam matanya.

“paling jelita, bukan? mari lihat siapa yang lebih jelita selepas ini,” ulah si ibu tiri sambil menunjukkan serpihan kaca cermin sakti yang paling besar yang dipegangnya sedari tadi.
dalam masa tiga saat, serpihan kaca itu telah meratah hampir separuh daripada wajah salji putih. dirobek-robek. dicakar-cakar. ditoreh-toreh. darah salji putih yang berwarna seakan putih itu mengalir laju, membasahi bumi. walau begitu, ibu tiri yang sememangnya sudah tidak kenal langit bumi itu, seperti tidak mahu berhenti. semua jerit perih salji putih diendahkan.

Tuesday, June 20, 2006

version 2

pada suatu hari yang haru-biru, angin-kencang dan ribut taufan, si ibu tiri yang sememangnya suka menyusahkan hidup salji putih tanpa sebab musabab tertentu menyuruhnya ke pasar malam, membeli epal merah yang timbangannya sekati dua dirham itu. dalam keadaan cuaca yang tidak tenang itu, wajar saja si salji putih membentak-bentak membantah, tidak mahu. tapi,diikut saja kata ibu tirinya. disambut raga yang dihulur tun teja dan berlalu dia ke dalam goncang angin di luar teratak mereka itu.

sementara itu, darah kaca cermin kuasa yang melihat dari jauh adegan paksarela itu mendidih walau beku melihat gadis kesayangannya diperlakukan sebegitu rupa. sehingga bergegar-gegar tubuh kaca berbingkai emas itu. ibu tiri yang melihat kelainan pada cermin kuasa itu kehairanan, tapi diendahkan saja kerana sudah tiba masanya pada hari itu untuk dia mengulang soalan yang selalu-selalu ditanya pada cermin kuasa itu. dia membuka mulut mengulang manteranya yang biasa itu perlahan-lahan.

si cermin sakti mengetap bibir, membisu. ibu tiri mengangkat sebelah kening dan mengulang manteranya. cermin sakti menjeling tajam wajah tun teja dan dengan lantang dan beraninya dia bersuara, “yang paling jelita di sekitar kota ini adalah salji putih.”

“apa?” jerit ibu tiri menggegarkan rumah kecil milik ayah salji putih itu. terperanjat mendengar ulahan sang cermin, “apa kamu tidak sayang akan nyawamu? begitu berani berujar begitu di depanku?”

si cermin yang seperti hilang akal itu hanya berpaling dan tersenyum sinis, “kiranya, kau tahu aku selama ini hanya berbohong?” tanpa menunggu jawapan, dia menyambung lagi, “ibu tiri, kau itu sangat bodoh kerana terima saja apa yang aku khabarkan selama ini. apa hasil jika dipuji untuk yang tidak benar? salji putih memang…”

belum sempat cermin kuasa menghabiskan kata, dia terasa dirinya melayang dan terhempas ke tanah, berderaian.

“salji putih yang paling jelita ya?” bisik tun teja sambil menunduk mengutip serpihan cermin sakti yang paling besar, “tahulah nasib kamu salji putih,” katanya lagi sambil menggenggam erat serpihan kaca itu.