.
RSS

Sunday, July 09, 2006

intermission bahagian pertama

cerita ini sudah siap hingga lengkap bahagian yang pertama...
bahagian pertama ini,
menceritakan bagaimana salji putih meninggalkan teratak ayahnya dan mengembara jauh,
bersama ketujuh-tujuh pahlawannya itu...

dan dalam bahagian kedua nanti,
akan diceritakan tentang pahlawannya itu satu-satu...
serta kehidupan mereka, di satu sudut dunia yang lain...

moga epal beracun itu manis rasanya

Friday, July 07, 2006

version 9

salji putih mengendahkan jeritan itu dan berpusing untuk berlalu pergi. tapi langkahnya dihentikan oleh sang cermin sakti, “saya ingin ikut kamu.” salji putih terkejut juga mendengar permintaan si cermin. mengapa tidak mahu pergi saja? semangat cermin itu sudah bebas. namun begitu, diterima juga.

“baiklah. kamu boleh ekori saya tetapi dengan syarat, kamu tidak boleh memberi atau mendatangkan beban pada saya dan kamu juga tidak boleh mempersoalkan apa pun tindakan saya,” cermin mengangguk-angguk mendengar arahan itu. belum sempat dia membuka mulut untuk menjawab, salji putih menyambung lagi, memperkenalkan setiap satu orang-orang kerdil itu, “dan kamu juga perlu seiring dengan pahlawan-pahlawan saya ini. Phialith, Eroth, Rayth, Ishith, Serenith, Aizenth dan Ilhamth.

“kehadiran saya hanyalah seperti segenggam debu. tidak akan kamu rasai,” cermin meningkah cepat-cepat. salji putih mengangkat sebelah keningnya, kehairanan. cermin mendekati wajah salji putih yang calar-balar dirobek-robek ibu tiri. sebaik sahaja cermin sakti menyentuh luka-luka itu, kepulan semangatnya yang samar-samar itu meresap menutupi semua luka-luka di wajah salji putih.

“sudah,” bisik sang cermin. dan suara itu hanya kedengaran di dalam kepala salji putih, oleh dia sahaja. semangat cermin sudah sebati dengan darah putih salji putih. memang tidak terasa kehadirannya. salji putih meraba-raba mukanya yang telah kembali seperti sediakala sambil memuji panjang akal sang cermin. dia memandang ibu tirinya dan melontarkan sebuah senyuman. kali ini senyuman yang benar. yang manis. yang puas. yang seolah-olah memperlekehkan tun teja. dan dengan itu salji putih pun berpusing dan melangkah pergi, meninggalkan teratak kecil. teratak ayahnya itu.

Monday, July 03, 2006

version 8

terlopong besar mulut cermin sakti menyaksikan kejadian di hadapannya. tidak hairanlah letupan besar kuasa Darath tidak menjejaskan salji putih sedikit pun. rupa-rupanya dia ini mempunyai ilmu…..

“kamu nampak terkejut cermin,” kata-kata salji putih itu memotong fikiran-fikiran cermin. entah bagaimana salji putih sudah pun berada di depannya. jarak yang dari tiga ela tiba-tiba menjadi satu nafas saja itu membuatkan si cermin terundur ke belakang secara automasinya, “kamu takut?” tanya salji putih lagi. cermin sakti melarikan bola matanya dan tunduk. diam tak mahu menjawab.

salji putih mengalihkan perhatian pada tun teja, “maaf ibu. putih tidak pernah khabarkan. putih menuntut ilmu bintang dan langit. ilmu laut dan darat. arwah ibu yang pesan suruh cari. arwah ibu kata, suatu hari putih akan perlukan ilmu-ilmu ini. memang benar kata arwah ibu.” salji putih melepaskan satu keluhan besar dan menyambung lagi,” hari ini pengajian putih tamat. ilmu putih sudah lengkap. itulah buktinya,” salji putih menudingkan jarinya pada ketujuh-tujuh orang kerdil tersebut.

“hari ini, putih sudah boleh berdikari. putih akan tinggalkan teratak ni. ibu mesti suka,” salji putih tersenyum tawar, “tapi sebelum itu, ini untuk ibu dan ayah,” salji putih mengangkat tangan kirinya dan raga yang diguna untuk membeli epal sebelum itu melayang ke arahnya. dia melangkah mendekati tun teja, dan meletakkan raga itu di hadapan ibu tirinya.

tun teja menjeling pada dua biji epal yang masih ada di dalam raga itu dan menjerit, “pergi kamu tukang sihir. aku tak perlukan apa-apa darimu.”